Wednesday, May 26, 2010

Latihan ke Tandas (Potty Training) (Part 2)

Teknik #1: Menanggalkan lampin

Misi pertama kita adalah untuk menyedarkan anak, bahawa terdapat satu “proses” yang sedang berlaku di bahagian perkumuhannya. Tekniknya adalah; Tidak memakaikan lampin sepanjang hari (tetapi, seluarnya mesti dipakai ya, ibu-ibu Anak-anak soleh tidak boleh diajar ber-telanjang, kerana ia akan mengikis perasaan malu)

Apabila dia ter-buang air kecil untuk pertama kali di dalam seluarnya, reaksi yang mungkin anda terima ialah: melihat air mukanya yang terperanjat, ataupun menjerit memanggil anda kerana seluarnya telah basah, atau mungkin berlari ke tandas sambil berciciran “airnya” di sepanjang perjalanan.

Haa..sebab itulah, semua carpet dan tikar mesti digulung terlebih dahulu ye (lihat post sebelum ini) Jadi, mudahlah untuk kita bersihkan kotorannya. Dan pastikan, anda tidak menunjukkan wajah yang marah, sedih atau berputus asa, kepada anak tatkala dia ter-kucil di luar tandas. Malah, inilah peluang BESAR anda untuk mengajarkannya; apabila terasa hendak membuang air kecil, pergilah ke tandas. Berikan senyuman dan dorongan kepadanya, serta tunjukkan yang anda yakin pada kemampuannya

Apabila anak anda telah “sedar” tentang proses ini (meskipun anda terpaksa mengelap kotoranya beberapa kali..huhu), dia akan LEBIH CEPAT belajar dan mudah dilatih untuk ke tandas. Maka percayalah, anda telah pun selangkah ke arah kejayaan!

Teknik #2: Mengatur waktu ke tandas

Di dalam teknik yang saya gunakan ini, walaupun memang kita ’sengaja’ mahu anak kita, sekurang-kurangnya pernah sekali, ter-kucil di dalam seluarnya. Tetapi, dalam masa yang sama, kita turut melatih cara sebenar untuk ke tandas.

Tetapkan masa, seperti: setiap 15 minit, ajak anak anda ke tandas untuk membuang air kecil. Bagi merangsang proses pembuangan air kencing berlaku, ajak anak ber-cangkung, basahkan kemaluan dengan air atau membuat bunyi-bunyi seperti ” shhh…”.

Sekiranya anda dapati 15 minit adalah tempoh yang terlalu singkat untuk anak anda, maka anda boleh panjangkannya ke arah 20 minit atau 30 minit. Namun selepas dipanjangkan tempoh tersebut, anak anda sempat pula ter-kucil di luar tandas, maka pendekkan kembali masa tersebut.

Walaupun dia tidak mahu membuang apa-apa semasa berada di dalam tandas, tidak mengapa. Ajarkan anak cara-cara membersihkan kemaluannya dan ambillah peluang ini juga, untuk mengajarkan anak adab-adab ke tandas. Baca doa sebelum masuk ke tandas, masuk tandas menggunakan kaki kiri, memakai selipar di dalam tandas, keluar tandas dengan kaki kanan dan lain-lain.

Lakukan teknik ini dengan suasana yang ceria dan menggembirakan. Elakkan paksaan atau meninggikan suara sewaktu mengajak anak ke tandas. Aktiviti ini mungkin agak memenatkan, tetapi yakinkan diri anda, bahawa sekiranya anda terus bersabar dan istiqamah melakukannya, maka anak anda akan CEPAT berjaya.

Teknik #3: Berikan ganjaran

Kanak-kanak sangat sukakan ganjaran. Mereka akan rasa lebih teruja untuk melakukan sesuatu sekiranya ada ganjaran. Ganjaran untuk latihan ke tandas perlu diberikan setiap kali anak “berusaha” untuk ke tandas (samada anda yang menyuruhnya, atau dia pergi sendiri ke tandas).

Cuba perhatikan betul-betul, yang saya highlight kan di sini adalah ganjaran untuk USAHA, bukan untuk hasil. Bukan mudah untuk anak kita menguasai sesuatu kemahiran. Oleh sebab itu, kita sebagai ibubapa harus menghargai usahanya, walaupun usaha yang tidak mendatangkan hasil. Lebih banyak penghargaan diberikan atas usaha, maka LEBIH CEPAT lah usaha itu membuahkan hasil.

Antara elemen ganjaran yang selalu dipraktikkan di serata dunia ialah dengan menampalkan pelekat (sticker) bintang kejayaan. Buatkan satu jadual latihan ke tandas yang berwarna-warni untuknya. Tampalkan di dinding rumah dan tuliskan di bahagian headline, “ BERJAYA!!” (Contoh: Ammar BERJAYA!!).

Setiap kali anak keluar dari tandas, bacakan headline tersebut dengan nada yang gembira. Lihat wajahnya, dan anda akan dapati dia tersenyum bangga melihat kejayaannya

Kemudian, ajak anak tampal bintang-bintang kejayaan di atas jadualnya. Katakan padanya, sekiranya bintang-bintang ini penuh sampai ke ruangan ini, ummi akan berikan hadiah. (Janjikan hadiah yang disukainya). Pasti ia akan lebih teruja untuk menambahkan koleksi bintang-bintangnya.

*******

Ok, cukup sampai di sini dahulu. Yakinlah, dengan KESABARAN yang tinggi, prakstis yang KONSISTEN, KEYAKINAN terhadap kemampuan anak , KERJASAMA daripada pasangan dan DOA yang berpanjangan, anda dan anak anda akan berjaya melalui latihan ini LEBIH CEPAT daripada jangkamasa yang ditetapkan.

Selamat Mencuba!

sumber ( anakku.com)

No comments:

Post a Comment