Thursday, December 2, 2010

Autisme: Ciri-Ciri dan Punca


Perkataan ‘autism’ mula-mula sekali digunakan oleh Eugen Bleuler pada tahun 1919. Ia merujuk kepada kurang atau tidak ada hubungan dengan individu lain dan dunia luar. Perkataan ‘autistic’ dan ‘autism’ ini dirujuk daripada perkataan Greek iaitu autos yang bermaksud sendiri ( Pamela J. Wolfberg, 1999 ).

Walau bagaimanapun, kini istilah autisme merujuk kepada ‘developmental disorder’ atau ketidakupayaan dalam perkembangan mental. Doktor Leo Kenner iaitu seorang ahli psikologi pada tahun 1943 telah menghuraikan autisme sebagai satu sindrom kumpulan tingkah laku. Bagi beliau autisme sebagai satu sindrom kumpulan tingkah laku yang unik. Autisme sebagai masalah gangguan afektif, perspektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi . ( Brenda dan Jo Webber, 2002 )

Menurut Hallahan & Kauffman (1997) autisme merupakan satu kecelaruan yang bercirikan pengasingan diri, tingkah laku mencederakan diri, masalah kognitif, masalah bahasa dan boleh dilihat sbelum berumur 30 bulan. The Autism Society Of America telah mendefinisikan pada 1977 dan menyemak semula pada 2000 menyatakan bahawa autisme merupakan kekurangan keupayaan sepanjang hayat dan dapat dipastikan pada tahap tiga tahun pertama bayi. Autisme berlaku tanpa menurut bangsa, keturunan dan latar belakang sosial keluarga.

Zasmani Shafiee (2000) telah menyatakan bahawa autisme adalah gangguan di dalam otak terutama di bahagian-bahagian menguasai kefahaman, emosi, komunikasi secara langsung dan tidak langsung. Kesimpulannya, autisme bolehlah didefinisikan sebagai ketidaksempurnaan dalam perkembangan otak dan bukan akibat masalah perkembangan emosi. Autisme juga merupakan satu fenomena yang serius dan tetap wujud sehingga akhir hayat walaupun tingkahlaku positif telah berlaku.

Nisbah Autisme:
Di dalam perhitungan dunia, bilangan yang menghidap autisme tulen adalah 4 hingga 5 orang dalam 10 000 orang manakala 10 hingga 15 orang dalam 10 000 orang mempunyai ciri-ciri tertentu autisme. Bilangan lelaki melebihi bilangan perempuan dengan nisbah 4:1, dan kebiasaannya seorang sahaja kanak-kanak autisme di dalam sesebuah keluarga dan kerap terjadi pada anak sulung.

Autisme dihidapi oleh kanak-kanak dari semua bahagian di dunia. Ia tidak mengira bangsa dan negara, taraf sosio ekonomi, taraf intelek, dan fakta perawakan sesebuah keluarga. Dianggarkan bilangan autisme tulen ialah 4350 orang dan lebih kurang 13000 orang mempunyai ciri-ciri tertentu autisme. Di Kuala Lumpur sahaja terdapat 60 hingga 80 orang kanak-kanak autisme yang ditempatkan di merata-rata pusat sosial dan sebagainya.

Perkembangan Fizikal dan Otak Individu Autisme
Seperti yang biasa kita lihat, individu autisme biasanya adalah seperti individu normal dan tiada siapa yang menyangka individu ini mempunyai ketidakupayaan. Apa yang kita lihat sifat fizikal kelihatan sempurna namun apa yang berlaku di dalam otak mereka tiada siapa yang tahu. Individu autisme ini dikatakan sebagai neuro-developmental disorder iaitu satu kecelaruan dalam pembentukan otak. Ini kerana di dalam otak setiap manusia terdapat beribu-ribu sel saraf yang paling berkait dan tersusun dalam bentuk system yang boleh mengawal kesedaran luar tubuh, termasuklah emosi, tingkah laku dan juga hubungan dengan fungsi organ dalaman.

Setiap hemisfera otak mengandungi empat bahagian iaitu frontal, temporal, occipital dan parienta. Kawasan occipital menerima sel-sel saraf optic, menganalisa dan memberi maklum balas tindakan yang perlu dilaksanakan oleh mata. Temporal lobe merupakan kawasan pendengaran dan berhampiran dengan sensori. Di hadapan kawasan sensori adalah kawasan motor yang mengawal pergerakan tubuh manusia. Bahagian parietal merupakan pusat mengawal motor pertuturan. Bahagian frontal adalah merupakan bahagian yang mengawal proses mental seperti kemahiran berfikir, membuat perancangan, kegiatan belajar dan menggunakan konsep-konsep perlambangan bahasa.

Trevarthen, Aitken, Papouli & Roberts ( 1998 ) menyatakan pendapatnya bahawa cereblum merupakan bahagian otak yang kedua besar dan terletak di bawah occipital lobe. Fungsi utamanya adalah mengawal keseimbangan badan, mengkoordinasi pergerakan otot dan mengawal tubuh badan tetapi pada kedudukan normal. Namun demikian, bagi kanak-kanak autisme, ia adalah sebaliknya. Sistem saraf pusat mula terbentuk apabila embrio berusia dua minggu dan apabila berumur lapan minggu akan menjadi fetus atau janin. Ketika inilah mekanisme genetik mula muncul. Faktor ini menentukan perkaitan individu dengan bentuk tubuh, organ dalaman dan sistem saraf pusat.

Bauman & Kemper dalam Edelson (1999) telah menjalankan pembedahan otak individu autisme dan mendapati bahawa terdapat dua bahagian dalam sistem limbik yang kurang berkembang iaitu ‘amygdala’ (berbentuk badam) dan ‘hippocampus’ (berbentuk kuda laut). Dua bidang ini berperanan sebagai mengawal emosi, tingkah laku yang tidak bersebab, input sensori dan pembelajaran. Mereka juga mendapati di dalam cerebllum terdapat kekurangan sel purkinje.

Saraf amyglada individu autisme ini adakalanya bersaiz lebih kecil atau lebih besar berbanding dengan saiz normal. Kesannya mungkin akan menyebabkan individu autisme menjadi hyperaktif atau hypoaktif. Ketidaknormalan saiz saraf tersebut juga memberi kesan kepada deria-deria yang berkaitan dengan sistem lain di bahagian otak. Di bahagian otak individu autisme terdapat kepadatan neuron di dalam saraf yang dinamakan amyglada dan hippocampus. Ketidaknormalan ini mungkin terjadi sewaktu bayi dalam kandungan ibu. Sistem saraf amyglada berhubungkait dengan deria kulit dan otot, rasa, penglihatan, pendengaran, bau, pertuturan dan pergerakan motor.

Ciri-Ciri Autisme
Kanak-kanak autisme mempunyai pelbagai masalah yang menjadikan mereka individu yang unik. Jamilia K.A Mohamed (2005) dalam bukunya Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istemewa telah menggabungkan kesemua ciri kanak-kanak autisme kepada enam bidang iaitu komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, tingkah laku, dan emosi.

1. Komunikasi
Kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri komunikasi seperti berikut:
a. Perkembangan bahasa lambat atau tiada langsung.
b. Kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.
c. Jarang menggunakan bahasa
d. Sukar diajak bercakap
e. Kadang-kala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja
f. Perkataan atau jawapan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan
g. Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami
h. Meniru perbualan atau nyanyian tanpa mengerti maksudnya
i. Suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu

2. Interaksi Sosial
Interaksi sosial kanak-kanak autisme dapat digolongkan sebagai sangat sukar dan ekstrim.
a. Suka bersendirian
b. Tiada kontek mata dan sentiasa mengelak daripada memandang orang lain
c. Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan
d. Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut

3. Gangguan Deria
Di antara ciri gangguan deria kanak-kanak autisme adalah:
a. Sensitif pada sentuhan
b. Tidak suka dipegang atau dipeluk
c. Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga
d. Suka mencium dan menjilat mainan atau benda lain
e. Kurang sensitif pada rasa sakit ataupun takut

4. Pola Bermain
Pola bermain kanak-kanak autisme ditunjukkan seperti berikut:
a. Tidak suka bermain seperti rakan-rakan sebayanya
b. Tidak suka bermain bersama rakan sebayanya
c. Tidak bermain dengan cara biasa, dan suka memutar-mutar atau melambung-lambung dan menyambut mainan atau apa sahaja yang dipegangnya
d. Suka dengan objek yang berputar seperti kipas angin
e. Apabila menyukai sesuatu benda terus dipegang dan dibawa ke mana-mana sahaja.

5. Tingkah Laku
a. Sama ada hiperaktif ataupun hipoaktif
b. Melakukan gerakan ataupun perbuatan yang sama dan berulang-ulang seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-nepuk tangan, berputar-putar, mendekatkan mata ke televisyen, berlari atau berjalan mundar –mandir
c. Tidak suka pada perubahan (daripada apa yang sedang dilakukannya)
d. Dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dan tanpa sebarang reaksi

6. Emosi
Emosi kanak-kanak autisme sangat sukar diramal dan berubah-ubah. Di antaranya ialah:
a. Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab , mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya
b. Merosakkan apa sahaja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu
c. Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu
d. Adakalanya mencederakan dirinya sendiri
e. Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain

Punca-punca Autisme
Punca sebenar autisme adalah kompleks dan sukar dijelaskan. Dalam kebanyakan kes, punca yang menyebabkan autisme adalah tidak diketahui. Autisme mempunyai kecelaruan yang berbagai-bagai dan kajian-kajian terkini yang dijalankan lebih memberikan tumpuan terhadap masalah genetik, masalah semasa dan selepas kelahiran, kefungsian otak ,dan faktor-faktor neurochemical dan imunilogikal.

Dari segi genetik, adik- beradik kepada individu autistik lebih berisiko mengalami autisme berbanding orang lain, terutamanya bagi pasangan kembar seiras. Selain itu autisme juga dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti Fragile X Syndrome, tuberous sclerosis, dan phenylketonuria (PKU).

Selain itu masalah dan komplikasi yang berlaku sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menjadi punca kepada berlakunya autisme. Di antaranya adalah jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir, keracunan makanan, dan bengkak cantik (mumps). Susunan kedudukan adik-beradik juga turut dikatakan sebagai pencetus autisme iaitu anak sulung dalam keluarga yang mempunyai dua anak, anak keempat atau yang berikutnya bagi keluarga yang mempunyai empat anak atau lebih (Gargiulo R.M. 2003).

Menyentuh tentang fungsi otak, terdapat bukti yang kukuh bahawa ketidakfungsian serebelum, sistem limbik, dan kemungkinan juga temporal lobe dan cortex terjadi kepada individu autisme.

Autisme juga dikaitkan dengan faktor kecelaruan autoimmune dan juga persekitaran. Dalam sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme, ketidakfungsian pelalian (immune dysfunction) akan berkait dengan beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan autisme, terutamanya alahan kepada makanan seperti susu dan gandum yang tidak dapat dicernakan dengan baik. Terdapat lebih 60% kanak-kanak autistik yang mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu yang berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicerna dengan baik dan menyebabkan protein daripada makanan ini tidak bertukar menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rangkaian yang akhirnya akan dibuang melalui perkumuhan air kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah yang melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, tumpuan perhatian, dan tingkahlaku (Jamilia K.A. Mohamed, 2005).

Kanak-kanak autisme merupakan kecacatan yang paling serius dari aspek pengendalian tingkahlaku. Dianggarkan 1/3 dari kanak-kanak kini boleh dilatih untuk berdikari tetapi sejumlah besar mungkin memerlukan pengawasan sepanjang hidup mereka. Biasanya kanak-kanak ini beransur baik selepas umur meningkat dewasa dan ada juga yang menjadi kanak-kanak normal dalam peringkat umur yang lebih dewasa. Berikut adalah anggaran peratus tahap berfungsi bagai kanak-kanak ini:

1-5% - menjadi biasa kembali dan boleh berdikari
15% - menunjukkan kemajuan semasa remaja
25% - boleh bekerja dalam pengawasan rapi
55% - perlu pengawasan rapi sepanjang hayat

2 comments:

  1. Saya merupakan ibu kepada salah seorang anak istimewa yang disyaki mengidap autisme...saya berasa sangat sedih, terkejut, kecewa dam macam-macam perasaan yang ada...saya cuba untuk memahami keadaan anak saya yang istimewa ini...tetapi saya kurang bahan bacaan yang boleh saya dapati..ada sesiapa boleh kongsi pengalaman atau bahan bersama?

    ReplyDelete
  2. mari sama2 kita bantu kanak2 autism
    mereka anugerah Allah yg sgt bernilai

    www.hanasihat.blogspot.com

    ReplyDelete